Promosi filem "Estet" bermula

16 Okt – Promosi filem arahan Mamat Khalid, "Estet" sudah bermula dengan pelancaran dua muzik video dan juga buku utk filem "Estet" yang diadakan baru-baru ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Muzik video tersebut dihasilkan daripada dua buah lagu tema filem iaitu "Ayuh Kawan" dan "Cahaya Kemenangan" yang mendapat sentuhan kolaborasi pengarah filem sendiri bersama seorang komposer muzik aliran Tamil yang cukup disegani, R. Lawrence. "Ayuh Kawan" menyaksikan paduan suara penyanyi rock terkenal, Awie bersama Siva. Manakala "Cahaya Kemenangan" dinyanyikan oleh Razif Rashid dan Suganya. Gerak tari di dalam muzik video ini telah dikoreografikan oleh Ruben Nair, seorang koreografer dan juga penyelaras aksi lasak dalam "Estet". Kedua-dua muzik video turut diarahkan oleh Mamat Khalid bertempat di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh, Selangor.

Selain daripada dua muzik video tersebut, sebuah buku untuk filem "Estet" telah dihasilkan bagi memberi informasi kepada peminat serta orang ramai bagaimana sesebuah filem dihasilkan. Buku yang diterbitkan oleh Matahari Publication, yang turut akan menerbitkan buku untuk filem "Pisau Cukur" akan berada di pasaran bermula akhir Oktober dan boleh didapati di mana-mana kedai buku terkemuka.

"Estet" mengisahkan kehidupan di Estet Cinta Manis yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya tetapi tiba-tiba digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra. "Estet" juga bakal dipentaskan di Istana Budaya pada pertengahan tahun 2010.